Monday, October 19, 2015

Gestational Diabetes (Part I)

Gestational Diabetes (GDM) ataupun masalah kecing manis sewaktu mengandung adalah salah satu masalah perubatan yang lazim ditemui di kalangan ibu mengandung. GDM berpunca dari intoleransi karbohidrat (carbohydrate intolerance) dan kadangkala disebabkan oleh kandungan itu sendiri (iaitu tiada faktor risiko yang jelas). Faktor risiko yang lazim adalah obesiti dan sejarah diabetes di kalangan ahli keluarga terdekat, Sejarah buruk kandungan lepas (Bad Obstetrics History) seperti kematian janin, peningkatan air ketuban, kecacatan kongenital dan 'big baby' adalah antara faktor pertimbangan. Untuk pesakit yang tiada sejarah seperti yang dinyatakan, kami cuba mengagak kewujudan GDM berdasarkan situasi seperti :
(a) Peningkatan berat badan secara mendadak / luarbiasa
(b) 'Glycosuria' iaitu kewujudan gula dalam kencing
(c) Janin yang membesar terlalu cepat
(d) Air ketuban meningkat terlalu cepat
(e) Ibu mengalami masalah keputihan keterlaluan ataupun berulang - tidak pulih walaupun dirawat
(f) Ibu mengalami masalah jangkitan berulang seperti bisul, kencing kotor dan sebagainya.

Nota - glycosuria memang lazim dijumpai di kalangan ibu mengandung. Glycosuria yang dikesan pertama kali TANPA kehadiran faktor risiko yang lain tidak menimbulkan sebarang syak. Tetapi glycosuria berulang (kehadiran gula dalam kencing > 1 lawatan) dianggap sebagai tidak normal.

Lazimnya, ujian saringan yang disyorkan di Malaysia adalah 'Modified Oral Glucose Test' (MGTT) di mana tahap gula dalam darah disukat dalam keadaan seseorang itu berpuasa dan 2 jam setelah mengambil minuman standard yang mengandungi 75g glukosa. Saringan ini adalah sejajar dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tahap normal untuk glukosa dalam darah puasa adalah 5.5mmol/L dan setelah 2 jam minum air berglukosa dalah 7.8 mmol/L (tahap rujukan mungkin berbeza mengikut definasi pengamal kesihatan anada).

Mengapa GDM itu penting?

GDM boleh mempengaruhi kesihatan perinatal janin. Risiko kematian perinatal adalah 5 kali ganda lebih tinggi di kalangan ibu yang menghidap GDM. Ramai ibu GDM mengadu yang mereka sering ditakut-takutkan tentang risiko ini. Namun, hakikat terpaksa dinyatakan dengan telus. Malahan, janin di kalangan ibu GDM ini juga mempunyai 10 kali ganda risiko kecacatan (congenital malformation).

Ramai penghidap GDM tidak ingin mengambil berat keadaan mereka. Saya pernah juga bertemu dengan doktor yang mengaku tidak mengawal makanan seperti yang disyorkan. Lebih bahaya lagi, mereka pandai pula mengawal makanan apabila sampai masa untuk melakukan pemeriksaan BSP (Blood Sugar Profile). Tidak kurang juga yang enggan mengambil dos insulin seperti yang disyorkan.

Kecuaian seperti di atas sering menjurus ke arah komplikasi lain seperti janin terlalu besar (Large for Gestational Age fetus), shoulder dystocia dan trauma perineum disamping peningkatan kelahiran secara vakum dan forsep. Antara risiko yang dinyatakan di atas, shoulder dystocia adalah risiko yang paling signifikan. Penghidap GDM boleh mengalami shoulder dystocia walaupun berat janin mereka belum mencecah 4kg. Ini adalah kerana janin yang membesar dibawah pengaruh GDM ini mempunyai distribusi lemak yang berbeza berbanding dengan janin normal. Lemak bawah kulit berkumpul di tempat-tempat tertentu dan menyebabkan proses kelahiran biasa menjadi lebih rumit.

Bagi si ibu pula, mereka menghadapi risiko 'diabetic ketoacidosis' di mana kepekatan gula dalam darah yang meruncing diikuti pula dengan asidosis (peningkatan tahap asid dalam badan) yang boleh menyebabkan renjatan (shock), jangkitan darah (septicaemia) dan pengsan (koma). Mujurnya, komplikasi 'diabetes ketoacidosis' atau DKA ini jarang-jarang berlaku dikalagan ibu mengandung kerana ramai yang tampil untuk pemeriksaan awal dan juga akses kesihatan yang mudah untuk ibu mengandung di negara ini.

Nota - tempoh perinatal merujuk kepada jangkamasa kandungan 23 minggu ke atas + jangkamasa proses kelahiran + jangkamasa neonatal awal iaitu 7 hari pertama selepas bayi dilahirkan ( sumber - WHO)

(bersambung)

You may also be interested to read the following:
1. Principles of management (DM & pregnancy)
2. Indications for MGTT

No comments: